Buli pelajar: Polis tunggu arahan lanjut

Mior Faridalathrash ketika ditemui pada Majlis Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.
Mior Faridalathrash ketika ditemui pada Majlis Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara berhubung dua kejadian buli melibatkan pelajar sekolah di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap kedua-dua kes telah selesai dijalankan dan pihaknya percaya satu keputusan akan dibuat untuk tindakan susulan.

"Siasatan bagi kes buli pelajar sekolah sudah selesai dan pelajar terlibat telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kertas siasatan masih di bawah Jabatan Peguam Negara.

"Saya percaya satu keputusan akan dibuat tidak tidak lama lagi ke atas semua kes pelajar yang terlibat dengan kegiatan buli ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar di sini pada Selasa.

Sinar Harian pada 25 Jun lalu melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 cedera akibat dipukul beramai-ramai termasuk menggunakan seterika panas dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar yang juga merupakan teman wanita kepada seorang suspek yang membulinya.

Disember tahun lalu, tular video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama MRSM berkenaan.

Susulan itu, siasatan polis mendapati teguran mangsa berusia 13 tahun itu terhadap salah seorang suspek agar tidak menonton video lucah menjadi punca kejadian itu.