Sila log masuk terlebih dahulu.

Mangsa buli 10 pelajar senior cedera tulang rusuk, melecur

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A
IPOH - Mangsa buli 10 pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Teluk Intan pada Khamis lalu disahkan mengalami kecederaan tulang rusuk selain kesan lecur pada belakang badan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian itu, pelajar lelaki berusia 14 tahun terbabit turut alami kecederaan pada betis kanan, dada, lengan, dagu dan pipi.

"Seterika panas yang ditekap pada tubuh mangsa telah mengakibatkan kesan melecur di bahagian belakang badan sebelah kanan.

"Mangsa yang menerima rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang semalam (Sabtu)," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua 10 pelajar yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai siasatan.

Katanya, polis telah pun melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya dalam masa terdekat.

"Reman tidak disambung kerana siasatan telah selesai dan semua suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 cedera akibat dipukul beramai-ramai termasuk menggunakan seterika panas dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan.

Kejadian sekitar jam 12.30 malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar yang juga merupakan teman wanita kepada seorang suspek yang membulinya.
Artikel Berkaitan:


Akibat kejadian itu, semua suspek terlibat telah ditahan pada hari sama dan direman selama empat hari sehingga Isnin ini.