[VIDEO] Banjir Baling: Tubuh 'task force' banci mangsa

Mohd Shahadan
Mohd Shahadan
A
A
A

BALING - Sebuah pasukan petugas (task force) khas ditubuhkan untuk membuat bancian berhubung maklumat mangsa dan angka sebenar penduduk yang terjejas dengan banjir dan insiden kepala air di Kupang, minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Baling, Mohd Shahadan Abdullah berkata, pasukan task force itu terdiri daripada 80 anggota dari Pejabat Daerah Baling, Majlis Daerah Baling, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Baling berkata, pasukan diketuai penghulu itu dibahagikan kepada enam kumpulan dan bakal membuat bancian rumah di 41 kawasan bermula Rabu yang dijangka mengambil masa selama dua hari.

"Kita melantik pembanci dalam kumpulan tersebut untuk turun berjumpa mangsa dan membuat bancian secara terperinci di kampung yang terlibat.

"Kesemua maklumat direkodkan dalam borang pembancian untuk dianalisa dan disahkan JPBD sebelum kita bawa kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah seterusnya ke Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah dan Tanah Baling pada Selasa.

Jelasnya, ia berikutan terdapat pertambahan bilangan laporan polis dibuat mangsa terlibat banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang di sini 4 Julai lalu.

"Sebelum ini hanya 802 laporan diterima tetapi pada hari ini meningkat kepada 1,228 dan maklum balas yang kita dapat kemungkinan ada isi rumah yang membuat lebih satu laporan polis," katanya.

Mohd Shahadan berkata, sekiranya keanggotaan task force tidak mencukupi, JPBD akan memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Dalam pada itu katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi PKOB di talian 04-4701949.