[VIDEO] UMNO nafi ada perjanjian jawatan TPM dengan Bersatu

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
A
A
A

PONTIAN - UMNO mendakwa tidak pernah wujud sebarang perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Majlis Kerja Tertinggi ( MKT) UMNO menganggap isu dibangkitkan Presiden PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lantikan TPM itu tidak pernah timbul.

"Berkenaan jawatan TPM itu, kami di dalam MKT UMNO tidak pernah ketahui wujudnya perbincangan mengenai cadangan lantikan jawatan itu dari Bersatu.

"Ahli MKT tidak pernah dimaklumkan mengenai hal itu. Memandangkan perkara ini tidak pernah dimaklumkan, maka MKT berpendapat hal ini tidak wujud," katanya di Majlis Penyerahan Daging Korban UMNO Bahagian Pontian di Benut, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Tegas Ahli Parlimen Pontian itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sudah mempunyai dua lantikan menteri kanan daripada parti itu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Bersatu sudah ada dua menteri kanan. Tidak sepatutnya mereka mahukan jawatan TPM. Selain dua menteri kanan dari Bersatu, terdapat dua lagi menteri kanan iaitu satu daripada UMNO ( Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dan Gabungan Parti Sarawak ( GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Oleh kerana Muhyiddin (Bersatu) sudah ada dua menteri kanan saya kira tidak wajar dia tuntut seorang TPM, " katanya.

Pada 9 Julai, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, perjanjian antara PN dengan Datuk Seri Ismail Sabri mengenai jawatan TPM memang wujud.

Marzuki mendakwa, beliau sendiri terbabit dalam penyediaan perjanjian di antara PN yang dianggotai Bersatu, Pas Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) itu dengan perdana menteri.

Marzuki juga mendakwa, satu fasal dalam perjanjian berkenaan menyebut bahawa dokumen perjanjian yang dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk, sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.

Pada 8 Julai, Abdul Hadi mengakui perbincangan mengenai pelantikan TPM ada dilakukan, namun tiada sebarang keputusan kerana kerajaan memberi keutamaan untuk menguruskan masalah dihadapi rakyat yang masih terkesan susulan peningkatan harga barangan.

Sebelum itu pada 2 Julai, Muhyiddin berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting dan supaya perjanjian PN dengan perdana menteri, termasuk berkaitan pelantikan TPM dipertimbangkan.