Penunggang motosikal maut, pembonceng parah dalam kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan sebuah motosikal di Jalan Gasing, pada Isnin.
Keadaan di lokasi kemalangan sebuah motosikal di Jalan Gasing, pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera parah apabila motosikal mereka terbabas lalu melanggar batu penghadang di Jalan Gasing di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu, dua individu itu menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR telah melalui selekoh, sebelum terbabas dan melanggar batu penghadang di tepi jalan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 20 tahun dilaporkan maut di tempat kejadian, manakala pembonceng berusia 19 tahun cedera parah," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan1987.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian. Orang ramai melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.