MA63 mampu pulihkan sentimen rakyat Sabah, Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan kerajaan meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan supaya kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian 1963 (MA63) dikembalikan dilihat penting dalam memulihkan sentimen penduduk kedua-dua negeri itu yang beranggapan mereka dianaktirikan.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata pindaan itu akan mengembalikan kedua-dua negeri itu sebagai wilayah atau rakan sekutu dengan kuasa autonomi tertentu atas beberapa urusan termasuk pembangunan.

"Pada masa ini apa sahaja yang Sabah atau Sarawak dapat, negeri-negeri lain juga perlu dapat. Dengan kedudukan sebagai rakan sekutu, Sabah dan Sarawak boleh berunding terus dengan perdana menteri dalam apa jua isu strategik yang melibatkan kepentingan kedua-dua negeri itu.

"Sebarang perbincangan melibatkan Sabah dan Sarawak tidak perlu melibatkan negeri-negeri lain. Misalnya berkaitan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Kerajaan Negeri Sarawak boleh berunding terus dengan perdana penteri dan membuat keputusan. Apa-apa keputusan yang diambil perdana menteri akan meminta Petronas melaksanakannya tanpa halangan birokrasi yang panjang seperti sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas persetujuan kerajaan untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi, satu langkah penting ke arah mengembalikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pindaan itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen yang berlangsung sekarang ini.

Ekoran pindaan yang dilakukan pada 1976, Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Ini bermakna kedua-dua negeri itu berstatus sama dengan negeri-negeri di Semenanjung dan bukan wilayah berasingan atau rakan sekutu dengan Semenanjung.

Menjelas lanjut, Awang Azman berkata rakyat Sabah dan Sarawak mahu peruntukan yang lebih adil supaya mereka dapat melakukan pembangunan sendiri.

Konsep keadilan juga tidak boleh dipukul rata tetapi perlu mengambil kira keperluan di Sabah dan Sarawak termasuk daripada segi pembangunan infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

"Tuntutan ini sudah lama dipinta oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Namun disebabkan oleh dominasi kuasa Barisan Nasional (BN) ketika itu sangat kuat, maka hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-13, barulah suara ini semakin kuat diperjuang lebih-lebih lagi di bawah pentadbiran Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan kemudian diteruskan oleh pentadbiran Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg," katanya.

Sejajar dengan prinsip Malaysia Baharu oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata suara rakyat Sabah dan Sarawak semakin didengari sehingga kerajaan bersetuju dengan cadangan meminda Perkara 1(2), berbanding semasa pentadbiran Barisan Nasional yang sekadar menganggap kedua-dua negeri itu sebagai deposit tetap (fixed deposit).

"PH melihat isu ini mengatasi isu kepartian. Yang penting PH mahu memberikan keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah dan Sarawak tanpa mengenal perbezaan ideologi politik. PH mahukan rakyat Sabah dan Sarawak menilai sendiri keikhlasan PH dalam isu itu," katanya.

Sementara itu, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata meskipun Sabah dan Sarawak telah diiktiraf sebahagian daripada Malaysia, namun kedua-dua negeri dilihat jauh ketinggalan khususnya dalam pembangunan infrastruktur dan taraf sosio-ekonomi rakyat.

"Penduduk Sabah dan Sarawak melihat masyarakat atau kerajaan di Semenanjung tidak begitu mengiktiraf dan seolah-olah menganaktirikan mereka, seperti contoh antara lima negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi termasuklah Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau juga berpendapat pindaan itu sepatutnya dilakukan dahulu lagi bagi memastikan hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak terus dipelihara. - Bernama