Malayan Tigerss tekad ikat perlawanan berdepan Thailand

Malayan Tigress kini di kedudukan keempat apabila mengumpul dua mata selepas tiga perlawanan. - Foto FAM
Malayan Tigress kini di kedudukan keempat apabila mengumpul dua mata selepas tiga perlawanan. - Foto FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak wanita negara tidak mempunyai pilihan selain perlu menerapkan corak permainan bertahan ketika berdepan Thailand pada Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bagi aksi keempat kumpulan A malam esok.

Ketua jurulatih kebangsaan, Jacob Joseph berkata, menyedari cabaran sukar menentang skuad Gajah Putih itu, anak buahnya diberikan tugasan bagi mencatat keputusan seri di Stadium Memorial Rizal di Manila, Filipina.

"Kami sedia maklum akan kebolehan Thailand di atas padang, jadi perancangan kami adalah mengikat perlawanan agar memperoleh sekurang-sekurangnya satu mata. Kita akan lebih banyak bertahan dan membuat serangan balas jika mempunyai peluang.

"Mereka adalah sebuah pasukan yang berada di peringkat lebih tinggi. Dari segi persediaan, mereka jauh berbeza dengan pasukan kami," katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Sabtu.

Jacob juga berkata, berikutan terpaksa mengharungi lima aksi kumpulan A yang padat, beliau tidak mempunyai banyak pilihan bagi menyenaraikan kesebelasan terbaik buat pasukan kendaliannya.

Beliau memaklumkan sehingga kini, empat pemain tidak dapat beraksi akibat kecederaan selain dijangkiti Covid-19 yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada percaturan pemain bagi melengkapkan lima aksi saingan kumpulan.

Mereka termasuk Rosdianah Adeline Jerus, Nur Farishah Errina Hisham dan Puteri Arrisa Balqis Ab Llah.

Malayan Tigress kini di kedudukan keempat apabila mengumpul dua mata selepas tiga perlawanan.

Tuan rumah Filipina berada di tangga teratas (sembilan mata) diikuti Thailand di tangga kedua (tujuh mata) dan Australia Bawah 23 di tangga ketiga (empat mata) kumpulan A dengan masing-masing berbaki dua perlawanan. - Bernama