Jambatan sementara Kampung Iboi siap dipasang

Proses pembinaan jambatan sementara di Kampung Iboi siap dipasang sepenuhnya pada jam 4.30 pagi Sabtu. -Foto Bernama
Proses pembinaan jambatan sementara di Kampung Iboi siap dipasang sepenuhnya pada jam 4.30 pagi Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

BALING - Jambatan sementara di Kampung Iboi, Kupang di sini siap dipasang pagi tadi sekali gus melegakan penduduk kampung menjelang sambutan Aidiladha pada Ahad.

Seorang penduduk Kampung Iboi, Azizan Aziz, 50, berkata, jambatan yang siap dipasang pada jam 4.30 pagi itu sangat penting bagi kegunaan seharian penduduk dalam menjalani semula kehidupan akibat bencana banjir dan fenomena kepala air, Isnin lepas.

"Alhamdulillah jambatan sudah siap, mudahlah penduduk untuk berulang-alik. Esok hari raya dapatlah penduduk kampung menunaikan solat Aidiladha di masjid yang terletak di seberang sungai.

"Kalau ada penduduk yang nak buat persiapan raya mudah sikit untuk mereka tetapi saya memang tak buat apa-apa persiapan sebab masih lagi terjejas banjir. Bekalan air pun tak ada," katanya pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Iboi, Abu Hasan Samah, 62, berkata, pihaknya bercadang mengadakan ibadah korban berhampiran jambatan itu yang melibatkan dua ekor lembu selepas solat sunat Aidiladha pada Ahad.

"Ibadah korban tetap dilakukan walaupun kawasan ini masih terjejas banjir. Kita harap dapat hidupkan suasana Aidiladha dan dapat agihkan daging kepada penduduk yang terkesan seramai mungkin," katanya.

Jambatan sementara jenis keluli bermodular 'Old Bailey Bridge' itu dibina bagi menggantikan jambatan konkrit asal yang runtuh dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi berkata, jambatan yang mula dipasang pada jam 5 petang Khamis lepas siap pada 4.30 pagi Sabtu.

"Tahniah kepada pasukan Jabatan Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia dapat menyiapkan jambatan tersebut dalam tempoh 36 jam, lebih cepat dari masa yang kita tetapkan iaitu 48 jam," katanya. - Bernama