UMK bantu pelajar B40

Pelajar UMK menunjukkan kupon makanan yang diperoleh bagi meringankan beban mereka sepanjang pengajian.
Pelajar UMK menunjukkan kupon makanan yang diperoleh bagi meringankan beban mereka sepanjang pengajian.
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membantu pelajarnya daripada keluarga B40 yang terkesan dengan kenaikan harga makanan ketika ini.

Naib Canselor, Profesor Dr Razli Che Razak berkata, pihaknya telah memperkenalkan beberapa langkah seperti pemberian insentif bantuan dan kemudahan melalui Bahagian Kebajikan dan Tatatertib Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pusat Islam.

Menurutnya, kemudahan tersebut ialah pemberian hamper, bakul dan beg makanan kepada semua pelajar yang terlibat.

“Inisiatif lain ialah bantuan makanan kepada pelajar yang kurang berkemampuan sama ada pelajar yang mendiami kolej kediaman dan luar kampus.

“Pihak UMK juga menyediakan Food Bank Siswa@UMK di ketiga-tiga kampus berupa sumbangan makanan kering daripada pihak universiti, Food Aid Foundation, Food Bank Malaysia dan penyumbang luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Razli berkata, UMK berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar khususnya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan asnaf.

Tambah beliau, UMK turut menyediakan beberapa saluran yang membolehkan pelajar untuk memohon bantuan dan sumbangan dengan pengisian borang permohonan di laman sesawang HEPA atau mendapatkan terus melalui kakitangan tersebut.

"Pelajar juga boleh mengisi borang secara digital atau melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan seterusnya permasalahan tersebut disalurkan kepada pihak Bahagian Kebajikan Dan Tatatertib Pelajar untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, sehingga Jun tahun ini sebanyak RM158,898 telah dibelanjakan untuk bantuan makanan dan tunai kepada pelajar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!