Op khas JPJ tingkat keselamatan pemandu, penumpang bas ekspres

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melancarkan kempen advokasi berkaitan keselamatan jalan raya kepada pemandu bas ekspres menerusi Op Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022 di beberapa terminal utama di Lembah Klang bermula Khamis.

JPJ dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Op Khas HRAA itu akan dijalankan di terminal bas seluruh negara sehingga 13 Julai untuk memastikan keselamatan perjalanan pergi dan pulang sepanjang perayaan Aidiladha.

"Advokasi keselamatan jalan raya menekankan tentang keperluan setiap pemandu bas ekspres mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap, keperluan pemandu kedua, serta mematuhi peraturan lalu lintas agar pemandu dan penumpang selamat sampai ke destinasi.

"Dalam program yang sama juga, penumpang bas turut diberikan khidmat nasihat mengenai saluran aduan JPJ sekiranya terdapat pemandu bas yang memandu secara berbahaya," menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

JPJ berkata, objektif utama program advokasi berkenaan adalah untuk memastikan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing dalam keadaan selamat selari dengan visi jabatan itu untuk menjadikan Malaysia negara sifar kematian akibat nahas jalan raya.

"Program berbentuk advokasi dijalankan bagi mencapai visi tersebut sekali gus memupuk kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa peka ketika memandu di samping menerapkan budaya pemanduan yang selamat," ujarnya.