Bantuan RM200 kepada 3,133 nelayan di Pahang

Wan Rosdy (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Yusof Othman pada Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa 2- Kluster Nelayan Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Jumaat. - Foto Bernama
Wan Rosdy (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Yusof Othman pada Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa 2- Kluster Nelayan Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyalurkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sebanyak RM200 kepada 3,133 nelayan di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM626,600.

"Walaupun jumlah RM200 ini tidaklah sebesar mana tetapi saya berharap ia akan dapat menampung perbelanjaan harian tuan-tuan dan puan-puan semua.

"Malah kita akan teruskan lagi sehingga kesemua golongan yang kita telah sasarkan menerima bantuan ini. Insya-ALLAH," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa 2 - Kluster Nelayan Peringkat Negeri Pahang di Auditorium Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, selain BPP, beberapa bantuan lain telah pun disalurkan kepada golongan nelayan pada tahun ini.

Antaranya beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan makanan ternakan ikan kepada 100 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 seluruh 10 daerah di negeri ini.

"Pemberian makanan ini dijangka dapat menampung kos operasi penternak untuk sepusingan ternakan bagi satu petak sangkar dengan sasaran pengeluaran sebanyak 600 kilogram hasil ternakan.

"Sebanyak 10 beg makanan jenis 'starter' dan 50 bag makanan jenis 'grower' dapat dibekalkan kepada seorang penternak dengan nilai RM5,000 bagi tempoh lapan bulan kepada ternakan ikan patin. Ia melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM500,000," katanya.

Wan Rosdy menambah, kerajaan Pahang juga bersetuju untuk meluluskan pemberian bantuan in-kind kepada kira-kira 380 orang nelayan darat seluruh Pahang yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, pemberian itu melibatkan peralatan seperti jala, jaring dan peralatan keselamatan dengan nilai RM1,000 untuk seorang penerima yang melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM380,000.

"Inilah usaha-usaha yang kita telah gerakkan bagi membantu golongan nelayan tidak kiralah sama ada nelayan laut atau pun nelayan sungai atau penternak ikan sangkar," katanya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang akan berusaha membantu rakyat kerana mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mapan.

Katanya, pengukuhan kewangan ini adalah disebabkan oleh hasil yang kita perolehi sejak saya menjadi Menteri Besar pada tahun 2018 meningkat dari setahun ke setahun.

"Jadi, inilah kunci utama bagaimana kerajaan Pahang mampu untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk negeri dan rakyatnya di mana setiap hasil yang kerajaan negeri perolehi kita akan pulangkan semula kepada rakyat," katanya.