Malaysia ucap takziah atas kematian Shinzo Abe

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas kematian bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin mengucap takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun, dan keluarga bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifudin berkata, Abe adalah seorang pemimpin ikonik dan akan senantiasa dikenang atas sumbangannya kepada pembangunan ekonomi Jepun melalui "Abenomics".

"Beliau juga telah memberi sumbangan besar kepada Dasar Pandang Ke Timur Malaysia, baru-baru ini, beliau mewakili kerajaan Jepun sebagai Utusan Khas Perdana Menteri Jepun sempena ulang tahun ke-40 dasar itu, di Kuala Lumpur,” katanya.

Abe berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali - pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020. Beliau juga perdana menteri Jepun paling lama berkhidmat.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Abe pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali dan memainkan peranan penting dalam memajukan serta mempelbagaikan hubungan dua hala dengan Malaysia.

"Legasi dan sumbangan Abe akan senantiasa dikenang,” katanya.

Abe, 67, ditembak ketika sedang berucap dalam satu kempen politik di bandar raya Nara dan penyerang sudah ditahan. - Bernama