Subsidi negara lebih besar daripada peruntukan pembangunan

Tengku Zafrul (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian APC Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor di One Plaza Kuala Selangor pada Jumaat.
Tengku Zafrul (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian APC Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor di One Plaza Kuala Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Peruntukan subsidi dibelanjakan kerajaan dijangka mencecah sehingga 80 bilion iaitu lebih besar daripada peruntukan pembangunan pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan subsidi pada mulanya hanya berjumlah RM77 bilion, namun ditingkatkan bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar.

Menurutnya, subsidi diberikan itu amat besar jumlahnya dan tidak pernah dalam sejarah kerajaan Persekutuan memperuntukan begitu banyak susbsidi kepada rakyat.

"Kalau ada yang mengatakan subsidi ditarik balik ia tak benar kerana perbelanjaan (subsidi) kita lebih besar daripada belanja pembangunan.

"Subsidi (yang diberikan kerajaan kepada rakyat) ini kalau digunakan untuk pembangunan (ia mampu membina) sekolah, hospital dan lain-lain," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor di One Plaza Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga membelanjakan sebanyak RM700 juta sehingga Jun lalu bagi subsidi ayam.

Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turut mengumumkan untuk melanjutkan lagi pemberian subsidi ayam standard meningkat kepada RM1.1 bilion meskipun mencecah RM9.40 sekilogram.

Selain itu katanya, sebanyak RM5 bilion peruntukan telah diluluskan pada tahun lalu membabitkan subsidi minyak petrol dan minyak

"Jadi jumlahnya begitu besar malah tarif elektrik yang sepatutnya mengalami kenaikan disebabkan harga arang batu dan gas pada 1 Julai lalu, namun Perdana Menteri telah bersama jemaah menteri kabinet meluluskan supaya diteruskan lagi tarif subsidi untuk TNB (Tenaga Nasional Berhad) kepada semua," ujarnya.

Katanya, susbsidi elektrik itu mencecah kira-kira RM6 bilion untuk subsidi elektrik sahaja.

"Semua subsidi ini untuk membantu rakyat dan oleh itu kadar inflasi kita adalah kadar inflasi yang terendah di dunia pada tahap 2.8 peratus," katanya.