Malaysia berminat tingkatkan hubungan perdagangan di Gansu

Ban Hong
Ban Hong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berminat untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi dengan China melalui wilayah Gansu, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, Gansu, sebuah wilayah di utara-tengah China, dapat merapatkan Malaysia dengan wilayah lain di negara itu dan menggesa perniagaan dari kedua-dua negara, terutamanya dengan mereka dari wilayah itu, untuk memanfaatkan hubungan perdagangan.

Katanya, pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menawarkan peluang kepada komuniti perniagaan untuk meraih manfaat penuh daripada perjanjian perdagangan bebas mega itu.

"Malaysia dan China juga perlu memanfaatkan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa untuk mengukuhkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam meningkatkan eksport minyak sawit dan pelaburan dalam industri halal.

"Oleh itu, Malaysia menjadi hab serantau yang sempurna untuk syarikat China meneroka ke luar negara untuk mengembangkan dan meninjau peluang perniagaan baharu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena pembukaan Pameran Perdagangan dan Pelaburan Lanzhou China 2022.

Menurut MITI, China merupakan pasaran eksport kedua terbesar untuk minyak sawit Malaysia, menyumbang 12 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit negara pada 2021.

Jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit yang lain ke China sebanyak RM13.16 bilion pada tahun lepas, meningkat sebanyak 23.7 peratus daripada RM10.64 bilion pada 2020.

Bagi memanfaatkan pembangunan pesat China dan permintaan yang tinggi untuk produk minyak sawit Malaysia, Lim berkata negara berminat untuk menyediakan bekalan makanan dan produk bukan makanan yang diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang dipercayai dan konsisten ke pasaran China.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, prestasi eksport halal Malaysia adalah menggalakkan pada 2021, naik sebanyak 19 peratus kepada RM36.3 bilion daripada RM30.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Ban Hong berkata, Halal Industry Development Corporation (HDC) menyasarkan untuk memanfaatkan minat yang tinggi terhadap kesedaran halal dan meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.

Pada tahun ini, Malaysia menjadi negara tetamu kehormat di pameran perdagangan antarabangsa itu.

Sebanyak 16 syarikat Malaysia yang berpangkalan di China, diterajui oleh Malaysian Chambers in China (MayCham), sedang mempamerkan produk dan perkhidmatan Malaysia di Pavilion Malaysia di Pameran Lanzhou.

Ban Hong turut menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman perniagaan kepada perniagaan dengan gabungan potensi perniagaan bernilai AS$18 juta (AS$1=RM4.42) antara syarikat Malaysia dan China untuk projek masa depan dalam sektor bersasar. - Bernama