Pegawai polis didakwa minta, terima suapan RM41,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TAWAU - Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitkan jumlah RM41,000 di Lahad Datu pada 2017.

Tertuduh, Saharulzaman Alizaman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Saharulzaman berdepan dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kepada seorang lelaki yang melakukan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan RM4,000 bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan Saharulzaman ketika bertugas sebagai Inspektor di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu antara 1.15 tengah hari hingga 4 petang,16 Ogos 2017.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai RM17,000 daripada lelaki itu di dalam sebuah kereta di Double Bay, bandar Lahad Datu, antara 3.09 petang dan 4 petang pada tarikh yang sama mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Semua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi, melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Sandakan dan menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin. - Bernama.