PRK DUN Rantau: Pengundi digesa pilih pihak yang adil

Dr Wan Azizah beramah mesra dengan sebahagian para hadirin ketika membuat lawatan di Kampung Sri Lalang sempena PRK DUN N27 Rantau hari ini. -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Datuk Seri Dr Wan Azizah mahu rakyat bangkit dan tunjukkan kebijaksanaan mereka memilih, pada PRK DUN Rantau pada 13 April ini.

Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa PRK berkenaan hanya diadakan semula selepas Pakatan Harapan tidak dibenarkan bertanding pada PRU14, Mei tahun lepas.

Beliau yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, biarpun negara luar memuji peralihan kuasa secara aman pada PRU berkenaan, namun tidak dapat dinafikan ada tempat yang berlaku tidak adil.

"Sekarang kita perbetulkan balik...Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) dulu dia menteri besar, orang yang berkuasa dia rasa dia tak akan ada ugutan, tidak akan jadi apa-apa," katanya ketika berucap di ceramah kelompok di Kampung Sri Lalang, di sini, malam ini.

Turut hadir calon PH bagi PRK DUN Rantau Dr S. Streram dan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew.

Dr Wan Azizah akui mereka bertanding sebagai 'underdog', dan DUN berkenaan adalah kubu kuat Mohamad yang akan mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada kali ini.

"Kita tampilkan calon kita untuk beri khidmat terbaik, kita rayu, kita mohon undilah calon kita," katanya.

Beliau menarik perhatian Dr Streram yang juga seorang doktor, sepertimana beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dapat memberi nilai tambah kepada perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat Rantau sekiranya dipilih.

PRK Rantau akan diadakan pada 13 April ini dengan Dr Streram akan dicabar Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. -Bernama