Toronto FC perlu tunggu lebih lama guna khidmat Insigne

Insigne - Foto PSG Talk
Insigne - Foto PSG Talk
A
A
A

PENGENDALI skuad Liga Utama Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) Toronto FC, Bob Bradley menegaskan skuad kendaliannya itu terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menurunkan pemain Itali, Lorenzo Insigne apabila pemain berkenaan dikatakan mengalami kecederaan.

Menurut Bradley, kecederaan berkenaan dikesan setelah pemain Itali berusia 31 tahun itu menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang baharu beberapa hari lalu.

Tambahnya, setelah merujuk kepada kakitangan perubatan kelab berkenaan, Insigne kemudiannya diarahkan untuk berehat sekurang-kurangnya bagi tempoh dua minggu.

“Kita terpaksa menunggu untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh dua minggu sebelum dapat menurunkan Insigne dengan memastikan keadaannya benar-benar cergas untuk beraksi.

“Apa pun, kami mengharapkan agar dia segera sembuh daripada kecederaan selain cergas sepenuhnya bagi membantu pasukan,” katanya.

Untuk rekod, kecederaan Insigne bakal menyaksikan dia terlepas peluang beraksi dengan San Jose Earthquake hujung minggu ini selain berdepan Charlotte FC pada 23 Julai ini.

Sementara itu, Bradley yakin Insigne mampu pulih lebih awal berbanding tempoh dua minggu yang ditetapkan oleh pihak perubatan pasukan.

Malah katanya, dia menyasarkan Insigne mampu pulih dan kembali cergas untuk melakukan debut di saingan MLS menjelang 23 Julai ini.

“Saya realistik terhadap perkara ini kerana saya rasa, dia (Insigne) mampu pulih dan cergas lebih awal.

“Namun, ia bukanlah satu kenyataan rasmi daripada saya kerana dalam tempoh sehari dua ini, pelbagai perkara boleh berlaku,” katanya