Jambatan sementara Kampung Iboi dijangka siap Sabtu ini

Kakitangan JKR Kedah dengan kerjasama anggota tentera membina jambatan Panel Keluli Bermodular bermula Khamis dan dijangka siap pada Sabtu. FOTO FB HISHAMMUDDIN HUSSEIN Abu Hasan Samah Nur Atikah Ramli.
Kakitangan JKR Kedah dengan kerjasama anggota tentera membina jambatan Panel Keluli Bermodular bermula Khamis dan dijangka siap pada Sabtu. FOTO FB HISHAMMUDDIN HUSSEIN Abu Hasan Samah Nur Atikah Ramli.
A
A
A

BALING - Pembinaan jambatan sementara di Kampung Iboi, Mukim Kupang, dekat sini bagi mengantikan Jambatan Lata Celak yang rosak dalam tragedi kepala air pada Isnin lalu dijangka siap pada Sabtu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular itu yang bermula pada Khamis boleh terus digunakan oleh penduduk apabila siap kelak.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan jambatan sementara itu dilakukan 20 kakitangan dari Bahagian Jalan dan Cawangan Kerja Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dengan dibantu 10 anggota tentera.

"Panjang jambatan itu adalah 27.4 meter dan lebarnya pula adalah 5.4 meter. Jambatan ini kukuh dan ketahanannya mampu menampung berat kenderaan sehingga lima tan bagi satu hala.

"Jambatan sementara ini akan berada di sini sehinggalah pembinaan jambatan baharu dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada petang Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Iboi, Abu Hasan Samah mengakui lega dengan tindakan pantas kerajaan dalam membina jambatan sementara itu.

Pembinaan Jambatan Panel Keluli Bermodular bagi mengantikan Jambatan Lata Celak yang runtuh akibat tragedi kepala air di Kampung Iboi, Mukim Kubang, Baling dijangka siap pada Sabtu.
Pembinaan Jambatan Panel Keluli Bermodular bagi mengantikan Jambatan Lata Celak yang runtuh akibat tragedi kepala air di Kampung Iboi, Mukim Kubang, Baling dijangka siap pada Sabtu.

Menurutnya, jambatan sementara itu akan memudahkan pergerakan penduduk kampung untuk berulang-alik bagi urusan harian seperti ke sekolah dan juga ke masjid.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana mempercepatkan pembinaan jambatan sementara ini untuk kemudahan penduduk kampung berulang alik lebih-lebih lagi untuk ke sekolah di sebelah kanan manakala masjid pula di sebelah kiri jambatan.

"Jika tiada jambatan ini, penduduk terutamanya pelajar sekolah perlu menggunakan jalan alternatif sejauh enam kilometer. Kira-kira 2,000 penduduk tinggal di sebelah masjid sana manakala di sebelah sini pula terdapat kira-kira 1,000 penduduk lagi," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Iboi pada petang Khamis.

Bagi seorang penduduk, Nur Atikah Ramli, 27 pula, jambatan tersebut boleh digunakan oleh penduduk untuk ke Pekan Kupang membeli barang keperluan dan juga urusan harian.

Menurutnya, dia bersyukur kerana jambatan yang runtuh akibat kejadian banjir kilat telah digantikan dengan jambatan sementara dan berharap dapat digunakan dalam masa terdekat.

Pada Selasa, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jambatan sementara akan dibinakan dengan segera bagi memudahkan penduduk kampung untuk berulang alik ke sekolah dan masjid berdekatan.