Staf kerajaan UAE boleh mohon cuti setahun mulakan bisnes

Kakitangan kerajaan dibenarkan mengambil cuti selama setahun untuk memulakan bisnes. - Foto RTA
Kakitangan kerajaan dibenarkan mengambil cuti selama setahun untuk memulakan bisnes. - Foto RTA
A
A
A

DUBAI - Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis mengumumkan bahawa rakyat negara itu yang bekerja di sektor kerajaan boleh mengambil cuti sehingga setahun untuk memulakan perniagaan mereka sendiri.

Bukan itu sahaja, kakitangan kerajaan juga akan mendapat separuh gaji mereka dalam tempoh itu selain mengekalkan pekerjaan mereka dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakyat memulakan perniagaan.

Keputusan itu dibuat selepas Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Khamis.

Matlamat kami adalah untuk menggalakkan belia memanfaatkan peluang komersial yang besar ditawarkan oleh ekonomi negara, ciap Sheikh Mohammed menerusi Twitternya.

Cuti selama setahun adalah antara cuti berbayar yang akan ditawarkan kepada penduduk UAE yang bekerja di sektor kerajaan.

Ia akan diberikan kepada rakyat yang ingin memulakan atau menguruskan perniagaan mereka di sektor swasta.

Cuti itu akan diluluskan oleh ketua pihak berkuasa persekutuan tempat pekerja bekerja.

Sheikh Mohammed berkata, UAE menyaksikan pertumbuhan sebanyak 47 peratus dalam eksport bukan minyak; 16 peratus peningkatan dalam pelaburan asing dan peningkatan 126 peratus dalam bilangan syarikat baharu. - Agensi