KKM luluskan penggunaan Veklury untuk rawat Covid-19

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-374 pada 7 Julai bersetuju untuk meluluskan ubat Veklury (remdesivir) sebagai kegunaan merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemegang pendaftaran produk tersebut adalah Gilead Sciences Malaysia Sdn Bhd dan Patheon Manufacturing Services LLC, Amerika Syarikat sebagai pengilang.

Jelasnya, Veklury digunakan bagi merawat pesakit Covid-19 dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dan berat sekurang-kurangnya 40 kilogram (kg).

“Produk Veklury ini tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi Covid-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk anti virus dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari masa ke masa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat dan risiko bagi produk tersebut kekal positif,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, KKM akan terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat–ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia dengan memastikan ia dinilai sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Sebelum ini, Veklury (remdesivir) merupakan ubat pertama yang diluluskan oleh Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital.

Artikel Berkaitan:

Ubat tersebut juga telah diluluskan untuk digunakan kepada kanak-kanak dijangkiti Covid-19, seawal usia 28 hari dengan berat badan sekurang-kurangnya tiga kg dan ke atas.