[VIDEO] Seorang lagi rakyat Malaysia dihukum gantung di Singapura

Warga Malaysia Kalwant Singh yang dijatuhi hukuman gantung menjalani hukumannya awal pagi tadi di Penjara Changi Singapura. - Foto hiasan
Warga Malaysia Kalwant Singh yang dijatuhi hukuman gantung menjalani hukumannya awal pagi tadi di Penjara Changi Singapura. - Foto hiasan
A
A
A

SINGAPURA - [DIKEMASKINI] Warga Malaysia Kalwant Singh yang dijatuhi hukuman gantung menjalani hukumannya awal pagi tadi di Penjara Changi Singapura, dan jasadnya akan dibawa pulang ke Cameron Highlands lewat hari ini.

Perkara itu disahkan peguamnya, Too Xing Ji ketika dihubungi Bernama.

"Ya. Dia telah menjalani hukuman,” katanya ketika dihubungi.

Mahkamah Rayuan Singapura semalam menolak rayuan terakhir Kalwant, yang pelaksanaannya ditetapkan hari ini.

Kalwant, 32, dijatuhi hukuman gantung di Singapura pada 1 Jun 2016 atas kesalahan mengedar dadah.

Sabitan dan hukumannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun yang sama.

Menurut Too, upacara memperingati Kalwant akan diadakan di 38 Sin Ming Drive pada sebelah petang.

Kalwant, yang berasal dari Cameron Highlands, Pahang, ditahan di republik itu pada 24 Oktober 2013, dan disabitkan atas tuduhan memiliki 60.15gm diamorphine dan mengedar 120.9gm dadah jenis itu.

Artikel Berkaitan:

Kalwant memfailkan usul kepada Mahkamah Rayuan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman serta semakan terhadap sabitan dan hukumannya.

Permohonan penangguhan hukumannya didengar Ketua Hakim Sundaresh Menon; Hakim Andrew Phang Boon Leong; dan Hakim Tay Yong Kwang melalui platform Zoom. - Bernama