Bot nelayan tempatan gajikan warga asing ditahan

Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di Pulau Ketam, Klang pada Rabu yang menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di Pulau Ketam, Klang pada Rabu yang menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing di kedudukan 7.3 batu nautika barat daya Pulau Ketam, di sini pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot nelayan kelas C yang mencurigakan itu ditahan kira-kira jam 7.20 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, bot itu dikendalikan oleh empat kru warga asing iaitu tiga warga Myanmar dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 32 hingga 55 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan kru warga asing tanpa permit.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak maritim memandang serius sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap salah laku dan jenayah.

Katanya, sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera.