UPNM bantu kurangkan beban sara hidup pelajar

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). (Gambar kecil: Dr Muhd Zu Azhan)
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). (Gambar kecil: Dr Muhd Zu Azhan)
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu pelajar menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Profesor Ts Dr Muhd Zu Azhan Yahya berkata, antara inisiatif tersebut adalah memperkenalkan menu Keluarga Malaysia di semua kafeteria UPNM dengan harga serendah RM3.50.

"UPNM sentiasa prihatin dan cakna kepada pelajarnya dalam menangani isu kenaikan harga dan kos sara hidup semasa.

"UPNM terus mendokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT Prihatin) dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa dijaga.

"Universiti turut mengadakan kolaborasi bersama Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) melalui pemberian diskaun harga barangan di kedai Pernama UPNM," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, UPNM turut memperkenalkan Program Bantuan Makanan Sejahtera sejak 2019 bagi membantu meringankan beban pelajar daripada golongan berkeperluan.

Katanya, pihak universiti telah membelanjakan sebanyak RM1.8 juta bagi menjayakan program berkenaan.

"Selain bantuan makan, UPNM juga menyediakan beberapa inisiatif lain termasuk

melaksanakan pengurangan yuran serta kaedah pembayaran yang lebih fleksibel untuk mengurangkan beban kos sara hidup pelajar.

"Bantuan barangan kering kepada pelajar yang berada di dalam dan luar kampus melalui Program Food Bank turut diadakan di samping kolaborasi dengan agensi luar dalam penyediaan bantuan makanan kering secara percuma bagi membekalkan makanan percuma kepada pelajar," katanya.

Dalam pada itu Dr Muhd Zu Azhan memberi jaminan pihak pengurusan universiti akan sentiasa peka dan berkerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam memastikan keperluan dan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.