CEO Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Allahyarham Marhaini terima anugerah Global Quranic Legacy Award

Siti Sarah mewakili Allahyarham menerima anugerah Ummatic Excellence Women's Award 2026 (Special Award In Memory): Global Quranic Legacy. FOTO: ROSLI TALIB
Siti Sarah mewakili Allahyarham menerima anugerah Ummatic Excellence Women's Award 2026 (Special Award In Memory): Global Quranic Legacy. FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Allahyarham Marhaini Yusof dianugerahkan Ummatic Excellence Women's Award 2026 (Special Award In Memory): Global Quranic Legacy dalam Majlis Healing With Al-Quran pada Isnin.

Anugerah berkenaan diterima oleh anak Allahyarham, Siti Sarah Ambok Dalek yang mewakili waris pada majlis yang berlangsung di Dewan Sheikh Daud Al Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini.

Menurut penganjur program yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Rozzana Rahmat, penganugerahan kepada Allahyarham merupakan penghargaan terhadap sumbangan dan legasinya dalam usaha membudayakan al-Quran menerusi pelbagai inisiatif.

“Beliau merupakan figura yang saya sangat kagumi dan hargai, seorang yang 'down to earth' tetapi banyak memberi manfaat kepada ummah,” katanya kepada Sinar Harian selepas selesai majlis.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman - Malaysia, Profesor Dr Rahmah Ahmad H Osman.

Allahyarham Marhaini, 56, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam pada jam 8.44 pagi, 11 Oktober lalu.

Allahyarham memainkan peranan penting dalam menggerakkan kempen #QuranHour di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Beliau antara individu yang giat memperjuangkan usaha membudayakan interaksi dengan al-Quran menerusi kempen World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan pelbagai inisiatif berkaitan.

Di bawah gerakan berkenaan, masyarakat digalakkan meluangkan masa untuk membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu program bersempena The 2nd International Al-Multaqa Al-Omani & The Tenth Omani Conference & Global Arabic Islamic Annual Festival itu turut menyampaikan enam lagi anugerah.

Anugerah berkenaan antaranya Ummatic Excellence Women's Award for Da'iyah, Ummatic Excellence Women's Award for Society and Community dan Ummatic Excellence Women's Award for Islamic Content Inspiration.

Siti Sarah (dua kanan) mewakili allahyarham menerima anugerah berkenaan bergambar bersama penerima anugerah lain, tetamu kehormat Hamidah (lima kanan), Rahmah (empat kanan) dan Rozzana (dua kiri). FOTO: ROSLI TALIB
Siti Sarah (dua kanan) mewakili allahyarham menerima anugerah berkenaan bergambar bersama penerima anugerah lain, tetamu kehormat Hamidah (lima kanan), Rahmah (empat kanan) dan Rozzana (dua kiri). FOTO: ROSLI TALIB

Dalam pada itu Rozzana berkata, program berkenaan dipilih bagi mengupas kepentingan al-Quran dalam mendepani cabaran kesihatan mental yang semakin relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini.

“Dunia semakin berkembang, tetapi kesihatan mental kita semakin merosot, jadi saya fikir topik ini sangat penting untuk dikupas kerana al-Quran itu syifa.

"Sebab itulah saya mengumpulkan golongan Qari dan Qariah yang memang selama ini pun saya serasi bekerja dengan mereka dan juga pentadabur itu semua adalah guru-guru saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!