Tindakan tegas jika masuk kawasan bencana tanpa tujuan

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghalang tugas pihak berkuasa dengan mengambil kesempatan berlegar-legar di kawasan bencana hanya sekadar ingin mencari 'content' dan meraih populariti. (Gambar kecil: Shamsudin)
Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghalang tugas pihak berkuasa dengan mengambil kesempatan berlegar-legar di kawasan bencana hanya sekadar ingin mencari 'content' dan meraih populariti. (Gambar kecil: Shamsudin)
A
A
A

BALING - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghalang tugas pihak berkuasa dengan mengambil kesempatan berlegar-legar di kawasan bencana hanya sekadar ingin mencari 'content' dan meraih populariti.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya memberi amaran kepada individu yang memasuki kawasan bencana tanpa tujuan munasabah dan mereka boleh dikenakan tindakan.

"Cukup-cukuplah menyusahkan pihak berkuasa dengan berlegar-legar di kawasan musibah tanpa sebarang tujuan semata-mata untuk mempopularkan diri (beri tahu di media sosial berada di kawasan bencana) (kononnya) membantu mangsa banjir sedangkan tak buat apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian di Pusat Media Bencana Banjir Baling di sini pada Rabu.

Menurut Shamsudin, siasatan terhadap individu terbabit boleh dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Jelasnya, bagi meningkatkan kawalan keselamatan, dua sekatan jalan raya dilaksanakan di laluan masuk kawasan bencana iaitu di simpang Kampung Jerai dan Kuala Kuang.

Ia bagi memastikan pihak terbabit tidak mengambil kesempatan termasuk melakukan jenayah.

Katanya, setakat ini, tiada laporan diterima berhubung kehilangan atau kecurian harta benda membabitkan mangsa bencana.

"Mangsa dibenarkan pulang untuk mengambil barang berharga atau dokumen pengenalan diri untuk tujuan disimpan di tempat selamat atau pusat pemindahan sementara.

"Mangsa yang pulang ke rumah juga diminta untuk membuat laporan polis tentang kerosakan bagi membolehkan bantuan disalurkan," katanya.