Ismail Sabri tiba di Ankara, teruskan lawatan rasmi ke Turkiye

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) ketika melawat kawasan Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA) pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif ISGIA Mohammad Nazli Abdil Aziz (kanan).
-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) ketika melawat kawasan Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA) pada Selasa. Turut hadir, Pengarah Eksekutif ISGIA Mohammad Nazli Abdil Aziz (kanan). -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A
ANKARA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlepas ke ibu negara Turkiye pada Rabu bagi meneruskan lawatan rasminya ke republik itu.

Pesawat khas yang membawa Ismail Sabri dan delegasinya dari Istanbul selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga Ankara pada 11.10 pagi (4 petang waktu Malaysia).

Beliau disambut oleh Menteri Pertahanan Turkiye, Hulusi Akar sebelum memeriksa barisan kawalan kehormat.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Timbalan Gabenor Ankara, Berkay Govcinar.

Perdana Menteri tiba di Turkiye pada Selasa dan beliau telah mengadakan lawatan ke lapangan terbang yang dimiliki serta dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul selain bertemu wakil syarikat berkaitan kerajaan dan firma swasta republik itu.

Ismail Sabri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan dua universiti Turkiye iaitu Universiti Teknikal Karadeniz (KTU) dan Universiti Karabuk (UNIKA) selain Dokumen Persefahaman antara Boustead Holdings Berhad dengan Great East Capital Bigli Teknologi Yatirimlari (GEC).

Pada Rabu, Perdana Menteri akan melawat dua pemain utama republik itu dalam bidang pertahanan serta aeroangkasa iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI).

Pada Khamis pula, Ismail Sabri dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara yang disusuli mesyuarat delegasi Malaysia-Turkiye. - Bernama

Artikel Berkaitan: