Guru wanita rugi RM63,800 diperdaya Macau Scam

Gambar kecil: Ahmad Adnan
Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang guru wanita mengalami kerugian RM63,800 selepas menjadi mangsa Macau Scam, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 49 tahun itu menerima panggilan daripada lelaki mendakwa dirinya sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 28 Jun lalu.

"Lelaki terbabit mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebelum panggilannya disambung kepada anggota polis selepas mangsa membuat penafian.

"Mangsa dimaklumkan dirinya terlibat pula dalam siasatan kes pengubahan wang haram hingga boleh diambil tindakan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, panik dengan keadaan itu, mangsa telah menyerahkan butiran perbankan sebagai usaha untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Mangsa menyerahkan nombor kad bank, kod pengesahan transaksi (TAC) kepada pegawai polis kononnya dari Bukit Aman.

"Mangsa menyedari ditipu selepas semakan akaun bank terdapat tiga transaksi berjumlah RM24,800, RM30,000 dan RM9,000 dikeluarkan daripada akaun simpanannya," katanya.

Ahmad Adnan berkata, laporan diterima pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sebanyak 13 kes melibatkan sindiket penipuan Macau Scam yang dilaporkan sejak Januari lalu. Kesemuanya menggunakan modus operandi sama dengan menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan

"Orang ramai diingatkan untuk tidak sesekali melayan panggilan telefon yang mencurigakan," katanya.