RM60 juta untuk bina baharu, baik pulih fasiliti sukan di Pahang

Lian Ker (dua dari kanan) menyerahkan surat kelulusan peruntukan RM500,000 untuk kerja baik pulih Stadium Hoki Kuantan kepada Hamdan di Kompleks Bandaraya Kuantan pada Rabu.
Lian Ker (dua dari kanan) menyerahkan surat kelulusan peruntukan RM500,000 untuk kerja baik pulih Stadium Hoki Kuantan kepada Hamdan di Kompleks Bandaraya Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan hampir RM60 juta bagi projek bina baharu dan baik pulih fasiliti sukan di Pahang tahun ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, daripada keseluruhan jumlah peruntukan itu, sebanyak RM30 juta untuk pembinaan Kompeks Belia dan Sukan Pahang baharu di Kuantan yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap Ogos tahun depan.

Menurutnya, melalui peruntukan itu juga, RM5 juta bagi kerja penyelenggaraan Stadium Darul Makmur, Kompleks Rakan Muda Rompin (RM15 juta), Kompleks Rakan Muda Maran (RM2 juta), Kompleks Sukan Pekan (RM3 juta) dan Kompleks Sukan Komuniti Pelangai, Bentong (RM4 juta).

"Selain peruntukan untuk projek berskala besar itu, KBS juga telah meluluskan RM500,000 untuk kerja-kerja segera bagi membaik pulih kemudahan di Stadium Hoki Kuantan, Wisma Belia di sini.

"Ia melibatkan kerja-kerja baik pulih pagar, bilik persalinan, padang dan sistem paip," katanya ketika sidang akhbar berhubung kelulusan peruntukan KBS itu di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Rabu.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Ti Lian Ker berkata, pihaknya menerima permohonan MBK untuk peruntukan baik pulih stadium hoki itu dua bulan lalu dan kelulusan segera RM500,000 diberikan mengambil kira keadan stadium yang sememangnya perlu diselenggarakan.

"Pihak kementerian turut menerima permohonan peruntukan RM4.4 juta daripada MBK untuk naik taraf stadium tersebut.

"Daripada keseluruhan permohonan dikemukakan itu, RM650,000 untuk sistem elektrik, baik pulih bumbung (RM400,000), kerja-kerja mengecat (RM350,000) dan naik taraf papan pengiraan markah (RM350,000).

"Selebihnya untuk kerja naik taraf lampu limpah, tempat duduk penonton, pagar, siar raya, tandas, papan tanda, bilik YIP dan padang," katanya.

Beliau berkata, permohonan itu telah dipertimbangkan dan dimasukkan dalam peruntukan untuk tahun hadapan.

Menurutnya,selepas kerja-kerja naik taraf itu disiapkan, Stadium Hoki Kuantan sedia untuk digunakan untuk penganjuran pertandingan hoki bertaraf antarabangsa.