Syarikat proses visa, kendali pengambilan pekerja Bangladesh diserbu

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu syarikat milik seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' yang dipercayai terbabit dalam pemprosesan visa dan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sudah memanggil ahli perniagaan terbabit pada Isnin lalu bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, saya mengesahkan kita sedang menjalankan siasatan berhubung syarikat itu yang mengendalikan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh serta terbabit dalam membangunkan satu sistem pendaftaran pekerja asing.

"Pada masa ini tiada tangkapan dilakukan dan kita akan memanggil mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan siasatan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Azam, siasatan yang dijalankan menjurus kepada unsur rasuah berhubung pendaftaran dan kelulusan kemasukan pekerja asing membabitkan beberapa individu dalam proses sistem pendaftaran dibangunkan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut terhadap pembabitan beberapa individu yang berada dalam radar siasatan suruhanjaya berkenaan.

Terdahulu, berdasarkan satu laporan media di Bangladesh 'The Business Post' menyatakan SPRM menyerbu syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur namun belum ada sebarang tangkapan dilakukan.

Ahli perniagaan terbabit dipercayai menjalankan urusan berkaitan pendaftaran pekerja asing serta dilaporkan mengawal 25 agensi pengambilan pekerja asing dari Bangladesh yang baru-baru ini dipilih untuk pengambilan pekerja asing masuk ke negara ini.

Katanya, kebanyakan pekerja asing yang ingin bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit dan isu ini dibangkitkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik yang tidak berpuas hati dengan kegiatan monopoli oleh individu terbabit.