Lima maut nahas tiga kenderaan

Bomba membersihkan jalan selepas kejadian nahas melibatkan tiga kenderaan. - Foto Ihsan Bomba
Bomba membersihkan jalan selepas kejadian nahas melibatkan tiga kenderaan. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

MARAN - [DIKEMASKINI] Lima sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak tiga tahun maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer101, jalan lama Kuantan- Kuala Lumpur dekat Kampung Semat, Batu 14 di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang itu, pemandu kereta, Norsuraya Mohd Noor, 30 dari Felda Jengka 6, di sini maut ditempat kejadian.

Turut maut, suaminya, Musa Abdullah, 31, bapa, Mohd Noor Che Mat, 78, ibu, Hashimah Ismail, 66 dan seorang anaknya, Muhammad Zulkarnain Musa, 3.

Seorang lagi anak pasangan itu, Nur Quraitun Ain Musa, 5 patah peha.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, pemandu dua lagi kenderaan, Mohd Yuszi Yusof, 46 dan Tan Cheng Keot, 52 tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Jengka 6 dari arah Kuala Lumpur.

"Keluarga ini difahamkan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu guru Kafa itu dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan cheroot Proton Iswara dipandu Mohd Yuszi sebelum bertembung Toyota Hilux milik sebuah syarikat yang dipandu Tan Cheang Keot," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian, lima sekeluarga itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran ke lokasi untuk bantuan menyelamat selepas menerima laporan berhubung kejadian.

"Ketika anggota tiba mendapati tiga kenderaan terlibat temasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan dua kereta, Perodua Myvi (dinaiki mangsa yang maut) dan Proton Iswara.

"Tiga daripada mangsa yang maut tersepit dalam kenderaan manakala dua lagi tercampak keluar.

"Semua mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Jengka manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh untuk menerima rawatan.