Lebih RM13 juta geran pembiayaan prasekolah kanak-kanak India B40

Halimah menyampaikan geran pembiayaan pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40.
Halimah menyampaikan geran pembiayaan pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memperuntukkan geran sebanyak RM13,068,862 bagi membiayai pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40 yang berumur antara empat hingga enam tahun.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, bantuan tersebut bertujuan memastikan kanak-kanak India B40 turut mendapat peluang mengikuti pendidikan prasekolah sebagai persediaan untuk memasuki pendidikan formal darjah satu kelak.

"Geran yang akan memberi manfaat kepada 5,164 kanak-kanak dan ibu bapa masyarakat India ini meliputi pembiayaan yuran pendidikan bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 mulai Mac 2022 sehingga Februari tahun depan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Halimah menyampaikan geran pembiayaan pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40.
Halimah menyampaikan geran pembiayaan pendidikan prasekolah kanak-kanak India B40.

Menurutnya, ia disalurkan melalui lima organisasi melibatkan 214 prasekolah di lapan negeri dan Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.

"Selain pembiayaan yuran persekolahan, bantuan berkenaan juga termasuk pemberian buku, lembaran kerja, pakaian seragam, alat tulis dan subsidi bagi penyediaan sarapan pagi untuk kanak-kanak berkenaan," katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu pada masa sama dapat meringankan beban kewangan ibu bapa khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup pada masa ini selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang merangkumi tiga teras utama iaitu kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran

“Saya berharap pihak pengurusan organisasi dan pengurusan pra sekolah akan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kanak-kanak India B40 ini mendapat pendidikan pra sekolah yang terbaik," katanya.