Belanja bulanan rakyat mungkin bertambah ratusan ringgit jika OPR naik

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan kadar faedah atau Kadar Dasar Semalaman (OPR) walaupun dalam mata asas yang yang kecil akan memberi impak besar kepada rakyat kerana kos belanja bulanan mereka mungkin bertambah ratusan ringgit.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbelanjaan bulanan sesebuah keluarga yang mempunyai beberapa pinjaman bank seperti pinjaman rumah, pinjaman kenderaan dan pinjaman peribadi pastinya akan naik.

Katanya, sebab itu ura-ura akan berlaku peningkatan OPR oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) menambahkan lagi keresahan seluruh rakyat.

"Peniaga-peniaga termasuk industri-industri besar yang mempunyai pinjaman perniagaan akan terpaksa menaikkan harga-harga barang atau perkhidmatan mereka yang pastinya akan dibebankan kepada pengguna iaitu rakyat.

"Justeru, justifikasi kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Rabu.

Beliau memuat naik hantaran itu bersama laporan Sinar Harian pada Isnin yang melaporkan BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada Mesyuarat Monetari (MPC) keempatnya pada minggu ini, kata Moody's Analytics.

Asyraf Wajdi menegaskan, kerajaan sebaliknya perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi penguncupan ekonomi negara tanpa menyalurkan beban tersebut kepada rakyat secara langsung.

"Ini bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan cadangan pembatalan subsidi, pengapungan harga siling dan meningkatkan kadar faedah kerana semua ini bakal meningkatkan kadar inflasi secara langsung.

Artikel Berkaitan:

"Banyak keluhan bahawa pendapatan rakyat dan perniagaan tidak banyak peningkatan, malah ramai yang berkurang semasa pandemik Covid-19. Maka, sebarang peningkatan kos sara hidup atau kos operasi harian yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan pastinya menyebabkan kadar inflasi meningkat, termasuk peningkatan OPR," katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, hakikatnya sekarang Malaysia sedang dalam proses peralihan fasa endemik di mana seluruh negara termasuk industri, peniaga-peniaga dan semua rakyat sedang bangkit semula memperbaiki keadaan ekonomi mereka.

Kata beliau, isu kenaikan kos sara hidup harian sudah mula dirasai oleh ramai rakyat termasuk kebimbangan oleh berita-berita kemungkinan penarikan subsidi, pengapungan harga serta ketidakcukupan bekalan barang-barang keperluan harian.

"Tuntasnya, peranan kerajaan pada waktu ini adalah sangat penting dalam memastikan kadar inflasi tidak terus meningkat dengan ‘upaya menyeluruh’ bagi memastikan kos-kos berkaitan kehidupan harian rakyat tidak naik.

"Sebaiknya kerajaan harus merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan bagi peningkatan dan penambahbaikan infrastruktur, menggalakkan pelaburan, memudahkan urusan dan prosedur perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak mengadakan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kos harian rakyat meningkat," katanya.