Dua kemudahan kesihatan KKM terjejas

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut terjejas akibat kejadian banjir dan kepala air di Baling pada Isnin.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo memberitahu, dua kemudahan terlibat adalah Klinik Desa Iboi dan Klinik Desa Kampung Pisang.

Beliau berkata, perkhidmatan di kedua-dua klinik berkenaan dihentikan buat sementara hingga keadaan keselamatan, hubungan jalan darat serta bekalan elektrik dan air pulih.

"Sementara itu, perkhidmatan bagi penduduk setempat disediakan di Klinik Kesihatan Kupang yang jaraknya lebih kurang lima kilometer (km) dari kedua-dua klinik desa tersebut.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling turut menyediakan perkhidmatan klinik statik di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Surau An-Nur, Taman Mesra Kupang dan SMK Agama Yayasan Khairiah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Othman berkata, perkhidmatan terbabit melibatkan pegawai perubatan dan anggota paramedik yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam.

Katanya, antara lain, Klinik Kesihatan Kupang pula menyediakan perkhidmatan atas panggilan bagi merawat kes-kes kecemasan antara jam 10 malam hingga 8 pagi.

Tambah beliau, PKD Baling juga telah membentuk pasukan pengawasan kesihatan persekitaran yang melakukan pemeriksaan dan pengawasan secara berkala di semua PPS.

"Objektif pasukan ini adalah untuk memastikan tahap kebersihan, kawalan lipas, lalat dan tikus, kawalan nyamuk serta keselamatan bekalan makanan di PPS sentiasa terjamin," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, JKN Kedah akan sentiasa memantau situasi banjir dan kesihatan semasa dan bekerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana ini.

Beliau memaklumkan, sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sakit tekak, batuk dan selesema perlulah mendapatkan rawatan segera.

"Sentiasa utamakan kebersihan diri dan persekitaran agar tidak terdedah dengan penyakit bawaan air dan makanan, terutama penyakit leptospirosis, meliodosis dan keracunan makanan. Minum air yang bersih dan masak makanan dengan sempurna,"katanya.

Jika ada sebarang isu berkaitan kesihatan, silalah menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Baling di talian 04-4706164.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Iboi di Kupang di sini menyifatkan banjir kilat yang berlaku pada petang Isnin adalah yang terburuk dalam sejarah kampung mereka.

Setakat jam 2 pagi, seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di sini dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).