Jangan hirau kekecohan kelompok yang kalah: Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diseru agar tidak lagi menghiraukan kekecohan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir kelompok yang kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebaliknya berkata, ahli parti itu perlu bekerja bagi meyakinkan kembali rakyat bahawa PKR adalah pilihan terbaik.

Tegasnya, Kongres Nasional parti itu seharusnya tidak boleh ditangguhkan lagi untuk melayan karenah segelintir calon yang kalah memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) boleh diadakan pada bila-bila masa.

"Keutamaan saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti untuk berdepan dengan lawan dalam PRU15.

"Sementara kita meneruskan agenda pengukuhan parti ke arah PRU15, segala ruang dalam parti perlu dibuka untuk membolehkan isu-isu yang ditimbulkan akibat pertukaran keputusan di saat akhir ini terus disemak.

"Antara langkah utama saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk meneliti keseluruhan proses audit digital yang telah mengakibatkan kecelaruan yang berlaku untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menambah, beliau akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baru mengambil tempat.

"Sebagai sebuah parti, kita tidak ada banyak masa untuk kembali ke landasan asal perjuangan kita iaitu membela rakyat ke arah membentuk sebuah masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati, lebih berdaya dan menjamin kehidupan yang lebih baik kepada semua," ujarnya.

Rafizi dalam masa yang sama turut mendedahkan telah menjelaskan secara dalaman mengenai pandangannya tentang motif sesetengah pihak seperti bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang terus mempersoalkan pemilihan parti dan ia adalah serampang dua mata.

"Pertama, untuk cuba mengubah keputusan supaya saya dan beberapa orang lain yang menang bersama saya tidak disahkan oleh Kongres Nasional.

"Kedua, untuk membina persepsi kononnya kemenangan saya dengan jurang yang besar ialah disebabkan manipulasi besar-besaran," dakwanya.

Menurut Rafizi, mereka ini tidak boleh menerima kenyataan bahawa sentimen akar umbi sangat berbeza dengan bacaan yang berlegar sekitar Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sebaik mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, beliau terus membuat satu kaji selidik terperinci untuk memahami sentimen dan kehendak anggota parti akar umbi serta menyelami pandangan pengundi terhadap PKR.

"Dapatan kaji selidik adalah jelas. Sokongan kepada saya dalam kalangan anggota akar umbi adalah 85 peratus berbanding saingan saya. Isu-isu yang saya bawa adalah selari dengan kehendak akar umbi.

"Sebab itu keputusan pemilihan juga mirip kepada sentimen akar umbi, saya menang dengan 60 peratus undi popular dan 75 peratus dari semua cabang di seluruh negara," jelasnya.