Bantuan awal RM500,000 kepada mangsa banjir

Pengusaha kedai bakeri Nurul Halimah Kuin, 29, menunjukkan tapak kedainya yang roboh akibat arus deras dan fenomena kepala air yang berlaku di Kampung Iboi Kupang petang semalam. -Foto Bernama
Pengusaha kedai bakeri Nurul Halimah Kuin, 29, menunjukkan tapak kedainya yang roboh akibat arus deras dan fenomena kepala air yang berlaku di Kampung Iboi Kupang petang semalam. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan mengumumkan tiga bantuan awal berjumlah RM500,000 kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataannya memaklumkan, bantuan itu merangkumi RM1,000 wang ihsan (BWI), RM2,500 keperluan asas dan RM500 bantuan barangan elektrik.

"Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat," katanya.

Menurutnya, Setiausaha Politik beliau, Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan BWI kepada semua ketua isi rumah (KIR)termasuk tiga waris mangsa yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.

Beliau yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdoğan berkata, kebanyakan rumah yang terkesan mengalami kerosakan.

"Sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali," katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri berkata, semua agensi kerajaan terlibat diarahkan untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa tragedi mempunyai tempat berteduh dalam keadaan selesa.

"Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal," katanya.

Ujarnya, kerajaan Persekutuan komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.

"Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa banjir ini akan diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri," katanya.