Isteri ketua kampung dibunuh

Lokasi kejadian yang menyebabkan seorang wanita maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Felda Mengkuang, Bera.
Lokasi kejadian yang menyebabkan seorang wanita maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Felda Mengkuang, Bera.
A
A
A

BERA - Seorang wanita maut dipercayai telah dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Felda Mengkuang di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan (DSP), N.Kumaran berkata, mangsa berusia 52 tahun yang juga isteri ketua kampung tersebut dipercayai telah dijerut dengan kabel pengecas telefon.

Menurut beliau, mangsa ditemui meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suami mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pengsan akibat dipukul.

"Pihak polis menerima maklumat pada jam 10.45 pagi iaitu seorang wanita telah maut dipercayai dibunuh di rumahnya.

"Suspek dipercayai telah masuk ke dalam rumah kira-kira jam 7.30 pagi melalui pintu belakang rumah dan masuk ke bilik mangsa.

"Mangsa dipercayai telah dijerut dengan kabel pengecas telefon dan turut mencederakan suami mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, suspek dipercayai telah melarikan wang tunai kira-kira RM6,000 bersama kereta jenis Honda City berwarna perak dengan nombor pendaftaran DAD 9799 milik suami mangsa.

Jelasnya, kes itu masih dalam siasatan pihak polis dan usaha mengesan suspek giat dilakukan pada masa ini.

Beliau memberitahu, polis melakukan usaha mengesan suspek dan mengharapkan orang ramai yang melihat kenderaan itu segera melaporkan kepada balai polis berhampiran.

"Pihak polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan diteruskan," ujarnya.

.