Kegiatan memburu saham murah dorong FBM KLCI ditutup tinggi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

INDEKS penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi sedikit pada urus niaga Selasa, didorong oleh aktiviti memburu saham berharga murah dalam kalangan saham yang terkurang nilai, kata seorang penganalisis.

Pada jam 5 petang, indeks utama itu meningkat 3.29 mata untuk mengakhiri urus niaga pada 1,440.81 berbanding penutupan Isnin pada 1,437.52.

Ia dibuka 4.35 mata lebih tinggi pagi ini pada 1,441.87, dan berlegar antara 1,435.58 dan 1,444.67 di sepanjang hari.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhannya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 423 berbalas 373, manakala 438 kaunter tidak berubah, 995 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.99 bilion unit bernilai RM1.21 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM1.08 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pelabur nampaknya enggan mengambil langkah yang lebih ketara berikutan ketiadaan pemangkin pembelian kerana suasana pasaran masih lagi dalam keadaan berwaspada di tengah-tengah risiko pasaran global yang meningkat dan tidak menentu.

"Namun begitu, kami percaya pasaran masih terlebih jual, justeru memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada tahap yang menarik, memandangkan penilaiannya yang lebih murah.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,430-1,460 untuk sepanjang minggu ini, dengan sokongan serta-merta pada 1,430 dan rintangan pada 1,465,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia -- Maybank meningkat satu sen kepada RM8.61, Public Bank dan CIMB masing-masing menokok dua sen kepada RM4.41 dan RM5.05, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.12, IHH Healthcare susut tiga sen menjadi RM6.40 dan Petronas Gas lega lapan sen kepada RM16.32.

Bagi saham aktif pula, Orgabio yang pertama kali muncul di Pasaran ACE meningkat tiga sen kepada 34 sen, Nexgram dan Reach Energy masing-masing tidak berubah pada satu sen dan lima sen, Top Glove susut tiga sen kepada 94.5 sen dan NWP Holdings turun setengah sen menjadi 27 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang sebanyak 17.47 mata menjadi 10,243.51, Indeks FBM Emas Syariah peroleh 12.36 mata kepada 10,366.13, FBM 70 menambah 13.53 mata kepada 12,307.56, FBM ACE jatuh 70.48 mata menjadi 4,646.97 dan Indeks FBMT 100 meraih 20.04 mata kepada 9,994.0.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 44.37 mata kepada 16,084.18, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.75 mata kepada 180.95 tetapi Indeks Perladangan susut 75.21 mata kepada 6,815.38.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengukuh kepada 1.07 bilion saham bernilai RM984.74 juta berbanding 1.04 bilion saham bernilai RM907.02 juta pada Isnin.

Jumlah dagangan waran turut meningkat kepada 452.94 juta unit bernilai RM94.0 juta daripada 371.77 juta unit bernilai RM72.25 juta semalam.

Sementara jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak menjadi 466.66 juta saham bernilai RM126.58 juta daripada 329.36 juta saham bernilai RM100.21 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menguasai 177.84 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (280.55 juta), pembinaan (35.0 juta), teknologi (80.43 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (47.21 juta), hartanah (141.10 juta), perladangan (37.28 juta), REIT (2.93 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (133.77 juta), penjagaan kesihatan (88.93 juta), telekomunikasi dan media (24.62 juta), pengangkutan dan logistik (13.93 juta ) dan utiliti (6.55 juta). - Bernama