Kerja 4 hari seminggu di peringkat penelitian, kajian: JPA

Orang ramai terpaksa bersesak setiap pagi untuk ke tempat kerja. Gambar hiasan: Sumber internet.
Orang ramai terpaksa bersesak setiap pagi untuk ke tempat kerja. Gambar hiasan: Sumber internet.
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan waktu bekerja empat hari seminggu adalah di peringkat penelitian dan kajian.

Tegas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, jabatan itu sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan tersebut.

"Walaupun beberapa buah negara kini sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan, namun JPA berpandangan bahawa pendekatan ini hendaklah dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, JPA juga amat cakna akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"JPA juga sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat," katanya.

Sebelum ini JPA dilapor menubuhkan pasukan mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini yang antara lain akan melihat bidang mana dalam perkhidmatan awam yang bersesuaian untuk pelaksanaan tempoh masa kerja berkenaan serta jumlah waktu bekerja dalam sehari.

Bagaimanapun ia mendapat kritikan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menyifatkan ianya masih belum sesuai dilaksanakan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada perkara yang memberi manfaat kepada warga pekerja berbanding mengkaji perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan.

Artikel Berkaitan: