635 jemaah Little Caliphs ‘tunai haji’

Murid-murid Little Caliphs yang menyertai Program Simulasi Little Hajj 2022 di Kota Bharu pada Isnin.
Murid-murid Little Caliphs yang menyertai Program Simulasi Little Hajj 2022 di Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Little Caliphs International Sdn Bhd (Little Caliphs) membawa 635 kanak-kanak tadika itu merasai pengalaman menunaikan ibadah haji menerusi Program Simulasi Little Hajj 2022 bagi Zon B yang diadakan di padang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh di sini, pada Isnin.

Pengarah Program Little Hajj Zon B Kelantan, Wan Fadzilah Ab Wahid berkata, kanak-kanak tersebut lengkap berpakaian ihram beserta beg galas haji dan replika pasport sama seperti haji sebenar.

Katanya, kanak-kanak tersebut daripada 16 Little Caliphs Kelantan dan dua Little Caliphs Terengganu bersama 69 guru mereka yang berperanan sebagai mutawwif.

Peserta melontar jamrah pada Program Simulasi Little Hajj 2022.
Peserta melontar jamrah pada Program Simulasi Little Hajj 2022.

“Disebabkan pandemik Covid-19, program dijalankan berasingan di tadika masing-masing sejak dua tahun lalu.

“Bagi menyemarakkan lagi sambutan Zulhijah sebagai bulan haji pada tahun ini, program diadakan lebih meriah secara beramai-ramai membabitkan 635 murid berusia enam tahun daripada 18 Little Caliphs Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasir Tumboh di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi, Azhar Salleh.

Beliau berkata, penganjuran program eksklusif memasuki tahun ke tujuh itu mendidik kanak-kanak seawal usia enam tahun terhadap rukun Islam kelima tersebut.

Peserta menerima sijil penyertaan Program Little Hajj Zon B Kelantan.
Peserta menerima sijil penyertaan Program Little Hajj Zon B Kelantan.

“Mereka juga mendapat pendedahan tentang sirah Nabi Ibrahim AS dan keistimewaan ibadah haji serta umrah,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Little Caliphs Rantau Panjang, Muhammad Faiq Amrullah Aliman, 6, mengakui teruja menyertai simulasi haji terutama ketika tawaf bersama rakan-rakan.

“Seronok dapat belajar tentang haji dan hari ini kami lakukan ibadah haji secara beramai-ramai,” katanya.

Muhammad Nor Naufal Nur Iman, 6, melaksanakan tahallul.
Muhammad Nor Naufal Nur Iman, 6, melaksanakan tahallul.

Seorang lagi peserta dari Little Caliphs Kok Lanas, Airin Raisha Mohd Rizam, 6, berkata, program tersebut dapat memberi pembelajaran dan pengalaman sebenar tentang ibadah haji.

“Pembelajaran silibus haji Little Caliphs sangat menyeronokkan terutama ketika melontar jamrah untuk merejam iblis yang juga salah satu daripada rukun wajib haji,” katanya.

Kepada yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang Little Caliphs, sila hubungi cawangan berdekatan untuk pendaftaran bagi sesi 2023 di talian 1300-88-6500.