Terengganu kekal status kejuaraan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan

Pemain Terengganu meraikan kejayaan selepas muncul juara Piala Ung Khek Cheow dalam Kejuaraan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 di Stadium Ragbi Perak. Foto Bernama
Pemain Terengganu meraikan kejayaan selepas muncul juara Piala Ung Khek Cheow dalam Kejuaraan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 di Stadium Ragbi Perak. Foto Bernama
A
A
A

TERENGGANU berjaya mempertahankan kejuaraan 2019, Kategori Lelaki Terbuka dalam merebut Piala Ung Khek Cheow selepas menewaskan Negeri Sembilan 19-0 pada perlawanan akhir Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 pada Isnin.

Berlangsung dalam keadaan cuaca panas di Stadium Ragbi Perak di sini, Terengganu membuktikan kehebatannya dengan memperoleh 19 mata hasil tiga 'try' dan dua 'conversion'.

Mata Terengganu diperoleh menerusi try dilakukan Mohamad Nasharuddin Ismail seawal minit ketiga, Mohd Fairuz Rahman pada minit ke 3.30 serta Muhd Halim Kassim pada minit ke 5.50, manakala dua conversion disempurnakan Mohd Fairuz.

Dalam kategori Terbuka Wanita, Kedah berjaya menundukkan pasukan Selangor 17-5 hasil conversion dan tiga try.

Bagi aksi Lelaki Bawah 21 tahun, Johor menewaskan Selangor 21-12 manakala kategori Wanita Bawah 21 tahun, Terengganu mengalahkan Selangor 15-10 untuk muncul juara bagi kategori masing-masing.

Hadiah Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Sementara itu, Presiden Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika ditemui berkata, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan pasukan dari seluruh negara yang penyertaannya amat memberangsangkan bagi pembangunan sukan ragbi di negara ini.

"Ini merupakan pemain akar umbi dari seluruh negara yang boleh kita pilih untuk pasukan negara yang selepas ini skuad negara antaranya akan ke Sukan Komanwel dan Sukan Malaysia pada September ini," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak. - Bernama