Lelaki lolos tahanan dipenjara enam tahun kerana pecah rumah, curi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki yang meloloskan diri daripada tahan polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, minggu lalu, dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas kesalahan pecah rumah dan mencuri.

Hakim Nizam Zakaria menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ailuddin Akif Alluvi, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu daripada tarikh tangkapan pada 22 Jun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri dua unit telefon, sebuah komputer riba, wang tunai RM3,000, seutas rantai tangan dan leher dan empat cincin dengan nilai jumlah keseluruhan RM12,000,

Dia melakukan perbuatan itu di di sebuah rumah di Kampung Redang Panjang Ijok, Batu Kurau di Selama, dekat sini, pada jam 12 hingga 1 tengah hari, 21 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau sebatan jika melakukan kesalahan itu untuk kali kedua.

Pekerja ladang itu juga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, semasa ditahan bagi kesalahan jenayah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Masjid Mohd Ali Raouse Kampung Ulu Sepetang, di sini, pada JAM 8.05 pagi, 29 Jun lepas.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Taiping Mohamad Khairul Fathi Mohammad Khir menetapkan 3 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin dan Pegawai Pendakwa, Insp Khoo Thean Heng manakala Mohamad Ailuddin Akif diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ng Wei Jun.

Pada Rabu lepas, lelaki itu meloloskan diri di kawasan Ulu Sepetang semasa dibawa ke Mahkamah Majistret dari IPD Selama untuk menghadapi pertuduhan.

Polis kemudiannya berjaya menangkap semula suspek di sebuah pondok kayu di kawasan Kampung Redang Panjang, Selama pada jam 2.45 pagi. - Bernama