Geng curi kabel, pecah rumah diberkas

Ahmad Ridhwan menunjukkan antara rampasan hasil pecah rumah susulan tangkapan tiga suspek di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Ahad.
Ahmad Ridhwan menunjukkan antara rampasan hasil pecah rumah susulan tangkapan tiga suspek di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Ahad.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki yang memiliki sembilan rekod jenayah dan lima kes dadah bergerak aktif bersama dua rakan untuk melakukan kegiatan curi kabel dan pecah rumah berjaya diberkas di Telok Panglima Garang pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan.

"Tangkapan pertama pada jam 3.30 petang berjaya menahan dua lelaki di sebuah rumah termasuk dalang geng ini.

"Soal siasat kemudian membawa kepada tangkapan suspek ketiga di Batu 9 kira-kira jam 4.10 petang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati geng ini dipercayai telah aktif sejak dua bulan lalu dengan mensasarkan kabel di tepi jalan selain terlibat dengan kes pecah rumah.

Katanya, siasatan awal suspek mengaku terlibat dalam dua kes curi kabel dan satu kes pecah rumah manakala polis masih menyiasat untuk mengenal pasti rakan sejenayah suspek.

"Semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod lampau termasuk dalang dengan sembilan rekod kes jenayah dan lima dadah," ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek kini direman empat hari sehingga 7 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.