Shafee tidak sihat, pemeriksaan balas Arul Kanda tangguh ke 12 Ogos

Arul Kanda Kandasamy. - Foto Bernama
Arul Kanda Kandasamy. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menunda pemeriksaan balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB kerana peguam bela utama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sihat.

Seorang lagi peguam bela Najib, Rahmat Hazlan ketika dihubungi memberitahu prosiding hari ini (Isnin) dikosongkan kerana Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghidap "Laryngitis” yang menyebabkan beliau kehilangan suara.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan perkara itu dan berkata, perbicaraan akan bersambung semula pada 12 Ogos ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Arul Kanda, 45 yang didakwa bersama Najib meminda laporan audit 1MDB sepatutnya melalui pemeriksaan balas, pada Isnin.

Pada 24 Jun, Mohamed Zaini membenarkan permohonan piohak pendakwaan memanggil Arul Kanda sebagai saksi perbicaraan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sementara Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan sebarang tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama