JHEAT siasat video tular pelanggan peluk wanita di kedai makan

Tangkap layar perbuatan memeluk bahu dan pinggang antara pelanggan lelaki dan wanita di sebuah kedai makan yang tular dalam media sosial.
Tangkap layar perbuatan memeluk bahu dan pinggang antara pelanggan lelaki dan wanita di sebuah kedai makan yang tular dalam media sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menyiasat klip video memaparkan dua lelaki memeluk bahu dan pinggang seorang wanita didakwa berlaku di sebuah kedai makan di Setiu yang tular sejak Ahad.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, kerajaan negeri memandang serius perbuatan tersebut yang boleh mencemar dan memberi imej buruk kepada agama Islam.

Sehubungan itu jelas beliau, JHEAT akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

"Kita tidak akan biarkan perkara yang tidak baik, perlakuan tidak senonoh berlaku bagi membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat kita.

"Kita akan siasat perkara ini dan lihat tindakan yang boleh diambil mengikut bidang kuasa yang ada," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Satu video memaparkan dua lelaki dipercayai pelanggan kedai makan itu memeluk bahu dan pinggang wanita berkenaan untuk bergambar tular dalam media sosial sejak Ahad.

Video berdurasi 34 saat itu mengundang pelbagai reaksi dari masyarakat.