RM262 juta dadah dirampas tahun ini

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) giat membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) giat membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 81,706 orang diberkas membabitkan 69,648 kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983 sepanjang tempoh Januari hingga Jun lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, jumlah tangkapan itu meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu seramai 66,889 individu ditahan membabitkan 55,560 kes.

"Dalam tempoh sama pada tahun ini, PDRM turut merampas sebanyak 10,464.20 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 2,394.91 liter pelbagai jenis cecair dadah, 69,132.69kg daun ketum dan 44,809.30 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM262 juta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noorsiah berkata, PDRM turut membongkar enam makmal haram memproses dadah dengan tangkapan seramai 18 orang.

"Dalam tempoh yang sama tahun lalu, PDRM telah membongkar sejumlah 10 makmal haram dengan tangkapan seramai 51 orang," katanya.

Beliau berkata, pelbagai aset sindiket bernilai RM 79.251juta disita, daripada jumlah tersebut, aset bernilai RM 9.063 juta telah berjaya dilucuthak di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Bagi tempoh yang sama tahun lalu, PDRM berjaya menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM 87.691 juta yang mana daripada jumlah tersebut, aset bernilai RM 8.638 juta telah berjaya dilucuthak," katanya.

Menurutnya, seramai 997 orang telah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah - Langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Bagi tempoh yang sama tahun lalu, seramai 575 orang telah ditangkap dan dikenakan tindakan di bawah akta yang sama," katanya.

Noorsiah berkata, PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

"PDRM berharap masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222," ujarnya.