Terengganu FC lega kembali ke landasan kemenangan

Antara aksi perlawanan Terengganu FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi. - Foto Facebook Terengganu FC
Antara aksi perlawanan Terengganu FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam tadi. - Foto Facebook Terengganu FC
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menarik nafas lega apabila berjaya meraih kemenangan ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, malam tadi.

Menurut Nafuzi, selepas melalui dua perlawanan tanpa kemenangan, keputusan positif yang diperoleh malam tadi memberi suntikan semangat kepada anak buahnya untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui sedikit gusar dengan prestasi anak buahnya yang sedikit merosot disebabkan faktor kepenatan oleh jadual perlawanan yang sangat padat.

"Alhamdulillah selepas dua perlawanan yang suram, kita berjaya kembali ke landasan kemenangan. Harapan saya supaya momentum positif ini berterusan pada perlawanan akan datang," katanya selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam aksi Liga Super di SSMZA di Kuala Nerus malam tadi.

Gol pertama TFC seawal minit pertama disumbangkan oleh penyerang import kelahiran Liberia, Kpah Sherman, manakala gol kedua dihasilkan melalui sepakan penalti yang diambil oleh pemain kebangsaan, Faisal Abdul Halim pada minit ke-79.

Gol tunggal Sri Pahang FC pula diperoleh pada minit ke-86 menerusi Malik Mat Ariff yang pernah menyarung jersi Terengganu selama dua musim bermula 2018.

Dengan kemenangan tersebut, skuad Penyu berjaya naik dua anak tangga iaitu dari tempat ketujuh ke tempat kelima liga dengan 13 mata, manakala Sri Pahang FC kekal di tangga kedua tercorot dengan lapan mata.

Sementara itu nasib berbeza yang dihadapi Sri Pahang FC selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut meletakkan pengendalinya, Christophe Gamel dalam kedudukan yang bahaya.

Ketika ditemui, jurulatih kelahiran Perancis itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasib serta kedudukannya dalam skuad Tok Gajah.

"Saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan. Saya sayangkan Pahang dan sebarang keputusan...jika baik untuk Pahang, saya setuju demi menghormati institusi ini,” katanya yang kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan malam tadi. - Bernama