Tok Mun meninggal dunia

Maimun Yusof yang menjadi calon wanita tertua yang muncul dalam PPRU12 pada 2008 meninggal dunia kerana sakit tua pada Ahad.
Maimun Yusof yang menjadi calon wanita tertua yang muncul dalam PPRU12 pada 2008 meninggal dunia kerana sakit tua pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon wanita tertua yang muncul dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun meninggal dunia kerana sakit tua pada Ahad.

Cucu Allahyarhamah, Tuan Norazlina Tuan Lah, 51, berkata, neneknya yang berusia 103 tahun menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol, di sini pada jam 3.30 petang.

Menurut Tuan Norazlina yang tinggal di Dungun, beliau menerima panggilan telefon dari seorang saudaranya pada jam 3 petang memaklumkan Tok Mun tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kesihatan nenek sudah merosot sejak empat bulan lalu tapi tetap enggan tinggal bersama kami. Memandangkan kesihatannya tidak baik, kami cucu-cucu dan anak saudaranya menemani nenek secara bergilir-gilir.

"Malam tadi saya tidur di rumah nenek namun dia tidak menunjukkan perubahan pelik selain mengadu panas tapi tidak benarkan kipas dipasang," katanya yang pulang ke Dungun untuk bekerja pada pagi Ahad.

Ahli keluarga Tok Mun hadir menziarahi jenazah Allahyarhamah di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol di sini pada Ahad.
Ahli keluarga Tok Mun hadir menziarahi jenazah Allahyarhamah di rumahnya di Kampung Sungai Atas Tol di sini pada Ahad.

Beliau berkata, jenazah Tok Mun dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol pada jam 10 pagi Isnin.

Nama Maimun sebelum ini dikenali kerana merupakan calon tertua yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU12.

Bagaimanapun, nenek kepada tujuh cucu itu hilang wang pertaruhan setelah meraih hanya 685 undi ketika menentang Mohamad Sabu (Pas) dan Allahyarham Datuk Razali Ismail (Barisan Nasional).

Tidak terhenti setakat itu, Maimun sekali lagi menjadi calon bebas di kerusi sama pada PRU13 ketika berusia 94 tahun, namun menerima nasib sama malah hasratnya untuk bertanding pada PRU14 tidak menjadi kenyataan kerana tidak mempunyai wang pertaruhan.