Uzbekistan isytihar darurat di wilayah Karakalpakstan

Bendera Uzbekistan. - Foto123RF
Bendera Uzbekistan. - Foto123RF
A
A
A

TASHKENT - Uzbekistan pada Sabtu mengumumkan darurat selama sebulan di wilayah autonomi Karakalpakstan susulan protes yang sedang berlaku, lapor Agensi Anadolu.

Pengisytiharan darurat itu ditandatangani Presiden, Shavkat Mirziyoyev selepas tunjuk perasaan tercetus ekoran cadangan kerajaan untuk meminda status autonomi wilayah itu.

Perintah darurat akan berkuat kuasa bermula 3 Julai hingga 2 Ogos dengan mengehadkan aktiviti keluar masuk di wilayah itu dan semua acara awam adalah dilarang.

Sekatan sementara turut dilaksanakan bagi mengurangkan kenderaan masuk di wilayah itu serta untuk menjejaki individu tertentu.

Penunjuk perasaan sebelum ini dilaporkan cuba menyerbu bangunan kerajaan.

Mirziyoyev berkata, meskipun pindaan dibuat namun status autonomi Karakalpakstan tidak akan berubah.

"Adalah perlu untuk memastikan status undang-undang Republik Karakalpakstan kekal tidak berubah,” katanya sambil menambah bahawa "kami pasti akan membina Uzbekistan dan Karakalpakstan baharu bersama-sama.” - Bernama