Lelaki ditahan tumbuk kepala ayah sendiri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki ditahan polis kerana dipercayai menumbuk dan memukul ayah kandungnya dalam pertengkaran di Kampung Indah Permai, Tasek Permai di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam ketika suspek yang berusia 33 tahun berada di rumah bersama ayahnya.

"Berlaku pertengkaran antara suspek dan ayahnya yang berumur 63 tahun. Suspek bertindak menumbuk kepala mangsa berulang kali menggunakan tangan serta mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya menghubungi polis.

"Punca kejadian disebabkan mangsa tidak mempercayai kata-kata suspek selepas mengesyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Tambah beliau, suspek mempunyai tiga rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine.

Menurut Mohamad Farouk, suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.