Chong Wei harap raketnya bawa 'ong' kepada Tze Yong

Datuk Lee Chong Wei
Datuk Lee Chong Wei
A
A
A

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap penyerahan raket miliknya kepada pemain sedang meningkat, Ng Tze Yong membawa ‘ong’ (tuah) kepada pemain muda itu.

Chong Wei, 39, yang bersara pada Jun 2019 selepas menghidapi kanser hidung berkata, ia boleh memberi inspirasi kepada Tze Yong, yang menduduki ranking ke-48 dunia untuk meneruskan legasi yang ditinggalnya.

Beliau terlebih dahulu menyerahkan salah satu raket kesayangannya kepada Tze Yong ketika sesi ‘Yonex Legend Vision’ sebelum separuh akhir Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena.

Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, turut berharap pemain berusia 22 itu mampu mengatasi tekanan yang hadir kepadanya apabila bakal beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 selaku pemain perseorangan lelaki utama negara.

"Tekanan memang ada, tetapi penting bagaimana beliau mengawal tekanan, saya rasa dia tahu kerana beliau kini pemain perseorangan pertama untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Bukan senang untuknya, Saya harap dia dapat menangani tekanan ini dan berjaya satu hari nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mengulas mengenai prestasi Tze Yong ketika ini, yang menampilkan aksi yang baik sebelum tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia kepada pemain ranking ke-27 dunia, Lu Guang Zu dari China dengan 16-21, 23-21, 18-21, Chong Wei berkata, kecergasan antara aspek utama yang perlu diperbaiki oleh pemain muda itu.

"Beliau mempunyai potensi, tetapi kita tahu tahapnya berada di mana sekarang. Beliau beraksi pada perlawanan pertama selama satu jam 30 minit dan sudah mengalami kekejangan kaki.

"Saya tahu apa kekurangan dia dan apa dia punya status, semua orang tahu tahap kecerdasan kurang. Baru bermain di pusingan pertama, kalau menang ada empat pusingan hingga final, bukan mudah perjalanan dia, saya harap dia akan berlawan untuk diri sendiri dan apa dia mahu,” katanya yang pernah muncul juara rekod 12 kali Terbuka Malaysia.

Sementara itu, Chong Wei secara am menasihatkan pemain-pemain muda supaya mengurangkan penggunaan media sosial dan memberikan tumpuan kepada latihan serta karier mereka selaku pemain badminton.

"Ini yang saya lihat, ada budak-budak zaman sekarang yang (selepas habis latihan), belum minum air dia dah angkat telefon dulu, selfie dan tulis dalam sosial media. Yang paling penting fokus latihan, benda itu (kemasyhuran) secara automatik akan datang cari kamu.

"Saya faham zaman ini lain berbanding zaman saya bermain, memang saya langsung tak tengok waktu itu. Penggunaan media sosial kena berjaga-jaga kerana kalau orang (netizen) komen positif mungkin kamu gembira, kalau komen negatif boleh ganggu konsentrasi, bergantung kepada pemain juga,” katanya.

Mengimbas kembali memori beraksi di Terbuka Malaysia, Chong Wei mengakui merindui suasana beraksi di hadapan peminat sendiri, selain turut berterima kasih kepada penyokong dan semua pihak yang terlibat dalam perjalanan kariernya.

Terdahulu, Chong Wei bersama-sama legenda badminton seperti Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade (Denmark) dan Lee Yong Dae (Korea Selatan) bermain dalam perlawanan pertunjukan sebelum aksi separuh akhir di hadapan lebih 10,000 penyokong.

Turut beraksi pada perlawanan itu adalah pemain kebangsaan seperti Tze Yong, Pearly Tan, M. Thinaah dan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar, serta beberapa pemain junior. - Bernama